akta perkhimatan awam jpa

Agensi Antarabangsa ↑


i. Pertubuhan atau organisasi yang ditubuhkan dan dianggotai oleh lebih daripada sebuah negara di mana Malaysia turut menjadi anggota atau mempunyai kepentingan.

ii. Mana-mana organsasi yang ditubuhkan dan dianggotai oleh wakil daripada lebih dari sebuah negara yang merdeka dan diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia.

Agensi Awam ↑

Kementerian atau Jabatan Kerajaan (Persekutuan/Negeri), Pihak Berkuasa Berkanun (Persekutuan/Negeri) dan Pihak Berkuasa Tempatan.

Agensi Pembekal ↑

Agensi awam yang bersetuju melepaskan pegawainya untuk berkhidmat di agensi lain secara pinjaman, tukar sementara atau pertukaran tetap. Dalam urusan peminjaman pegawai, semua agensi pembekal terdiri daripada agensi awam. Istilah agensi pembekal tidak wujud di kalangan agensi swasta kerana penempatan pegawai swasta berkhidmat dengan agensi awam tidak boleh dibuat secara pinjaman.

Agensi Peminjam ↑

Agensi awam, swasta, antarabangsa atau kerajaan negara asing yang bersetuju mendapatkan perkhidmatan daripada agensi pembekal secara pinjaman, tukar sementara dan pertukaran tetap. Agensi peminjam ialah sesebuah agensi awam atau swasta tempat seseorang pegawai awam berkhidmat secara pinjaman.

Agensi Swasta ↑

i. Syarikat yang ditubuhkan di bawah Akta Syarikat 1965 (termasuk syarikat kerajaan)dan organisasi tempatan yang sah.

ii. Mana-mana organisasi yang sah di bawah undang-undang Persekutuan dan Negeri selain daripada Agensi Awam.

Amaran ↑

Satu bentuk hukuman tatatertib yang paling ringan yang dijatuhkan oleh Pihak Berkuasa Tatatertib seseorang pegawai yang disabitkan kesalahannya. Hukuman ini dalam bentuk peringatan bertulis supaya pegawai tidak mengulangi kesalahan yang dia disabitkan. Hukuman sebegini perlu direkodkan di dalam Kenyataan Perkhidmatan pegawai.

Buang Kerja ↑

Satu bentuk hukuman tataterib yang paling berat yang dikenakan kepada pegawai yang disabitkan kesalahan oleh Pihak Berkuasa Tatatertib. Hukuman ini dalam bentuk penyingkiran pegawai daripada perkhidmatan awam. Pegawai yang dijatuhi hukuman ini akan hilang semua faedah persaraan.

Buku Perkhidmatan ↑

Buku yang disediakan khusus dan diberi nombor kod Am 274 untuk mencatat atau merekodkan maklumat peribadi, perkhidmatan, cuti dan maklumat tertentu yang lain untuk setiap pegawai awam.

Denda ↑

Satu bentuk hukuman tatatertib dalam bentuk wang tunai yang perlu dibayar kepada Kerajaan oleh pegawai yang disabitkan kesalahannya oleh Pihak Berkuasa Tatatertib. Hukuman sebegini perlu direkodkan di dalam Kenyataan Perkhidmatan pegawai.

Disabitkan / Sabitan ↑

Suatu dapatan atau suatu perintah yang melibatkan suatu dapatan bersalah oleh sesuatu mahkamah jenayah di Malaysia atau di luar Malaysia, atau oleh sesuatu badan kompeten yang diberikan kuasa untuk menjalankan penyiasatan terus di bawah mana-mana undang-undang bertulis, bahawa orang yang dipertuduhkan atau dituduh itu telah melakukan suatu kesalahan.

Emolumen ↑

Segala saraan dalam bentuk wang yang perlu dibayar kepada seseorang pegawai dan termasuk gaji pokok, imbuhan tetap, bayaran insentif dan elaun bulanan lain.

Gaji Akhir

i. Gaji pokok terakhir yang diterima oleh seseorang pegawai dalam jawatan yang disandang sebelum dilantik ke jawatan yang lain.

ii. Bagi tujuan menetapkan gaji permulaan di syarikat ialah gaji hakiki bulanan yang diterima sehari sebelum penswastaan.

iii. Bagi tujuan pengiraan pencen, ialah gaji hakiki di jawatan yang telah disahkan dan diterima sebelum tarikh penswastaan.

Gaji Maksimum ↑

Matagaji tertinggi dalam skel gaji sesuatu jawatan.

Gaji Minimum ↑

Matagaji terendah dalam skel gaji sesuatu jawatan.

Gaji Permulaan ↑

Gaji pokok yang dilayak ditawarkan kepada seseorang pegawai yang dilantik ke satu jawatan seperti yang ditetapkan dalam skim perkhidmatan.

Gaji Pokok ↑

Gaji tidak termasuk elaun dan imbuhan.

Ganjaran Kontrak ↑

Salah satu daripada faedah tamat perkhidmatan yang dibayar kepada pegawai yang dilantik secara kontrak setelah mereka menamatkan perkhidmatan dengan memuaskan.

Guru Sandaran

i. Seorang yang diambil bertugas sebagai guru di bawah Kementerian Pendidikan untuk sesuatu tempoh bagi mengisi kekosongan hakiki dan ianya belum lagi dilantik oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (Surat Pekeliling Perkhidmatan Kementerian Pelajaran Bil.1 Tahun 1987).

ii. Ertinya guru yang mempunyai kelayakan akademik dan kelayakan ikhtisas perguruan serta sedang menunggu lantikan daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan atau guru yang mempunyai kelayakan akademik tetapi tiada kelayakan ikhtisas perguruan. (Pekeliling Perkhidmatan Bil.2 Tahun 1996). Upahan yang diterima adalah dalam bentuk elaun bulanan.

Kekananan ↑

Kedudukan seseorang pegawai yang disusun berdasarkan kepada tempoh perkhidmatan yang boleh diambilkira mulai tarikh pelantikan atau kenaikan pangkat dalam skim perkhidmatan yang sama.

Kekosongan Hakiki ↑

Kekosongan jawatan yang wujud secara mutlak iaitu jawatan yang tidak mempunyai penyandang disebabkan oleh jawatan berkenaan baru diwujudkan sama ada belanjawan tahunan atau melalui waran perjawatan atau jawatan yang penyandangnya dinaikkan pangkat, meletakkan jawatan, bersara, dibuang kerja, ditamatkan perkhidmatan, dilantik ke skim perkhidmatan lain atau bertukar.

Kekosongan Operasi ↑

Kekosongan jawatan secara sementara kerana penyandangnya tidak bertugas disebabkan bercuti, di pinjamkan atau ditukar sementara, memangku, ditahan/gantung kerja aatu hilang tanpa dikesan.

Kenaikan Pangkat

i. Kenaikan Pangkat bererti kenaikan pangkat yang seseorang pegawai itu ada harapan untuk mendapatkannya mengikut skim perkhidmatannya, iaitu kenaikan pangkat dari satu tingkat ke satu tingkat yang lebih tinggi dalam satu skim yang sama (Perintah Am Bab A 1973).

ii. Satu peningkatan secara hakiki dari satu gred ke satu gred yang lebih tinggi dalam skim perkhidmatan yang sama setelah diluluskan oleh Lembaga Kenaikan Pangkat berkenaan.

Kenaikan Pangkat Secara Lantikan (KPSL) ↑

Lantikan seseorang pegawai yang sedang berkhidmat ke satu skim perkhidmatan lain yang lebih tinggi dalam klasifikasi perkhidmatan yang sama dan mempunyai kesinambungan dari segi peranan, bidang tugas dan fungsi. KPSL adalah suatu pelantikan dan bukannya kenaikan pangkat . Oleh itu penetapan gaji permulaan perlu dibuat mengikut peruntukan Perintah Am 33 Bab A 1973 iaitu berdasarkan kepada prinsip di matagaji tertinggi berhampiran.

Kenyataan Cuti (Am 274 C) ↑

Satu ruangan dalam buku perkhidmatan yang mencatatkan semua hal mengenai cuti seseorang pegawai sepanjang tempoh perkhidmatannya.

Kenyataan Perkhidmatan ↑

Satu bahagian dalam buku perkhidmatan yang dikhaskan untuk merekodkan peristiwa-peristiwa penting serta maklumat-maklumat yang berkaitan dengan perkhidmatan pegawai berkenaan di sepanjang tempoh perkhidmatannya mulai dari tarikh ia mula dilantik sehingga perkhidmatannya berakhir sama ada kerana persaraan, meninggal dunia, dibuang kerja, meletakkan jawatan atau perkhidmatannya ditamatkan.

Kesalahan Tatatertib ↑

Pelanggaran mana-mana peruntukan tatakelakuan yang ditetapkan dalam Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 dan termasuklah apa-apa perbuatan atau peninggalan yang berkenaan dengannya tatatertib boleh diambil di bawah Peraturan berkenaan.

Keterhutangan Kewangan Yang Serius ↑

Keadaan keterhutangan seseorang pegawai yang mengambilkira amaun hutang yang ditanggung olehnya, telah sebenarnya menyebabkan kesusahan kewangan yang serius terhadap dirinya. Antara faktor seseorang pegawai awam boleh tergolong dalam keadaan keterhutangan yang serius ialah apabila jumlah hutang dan liabilitinya yang tidak bercagar melebihi enam kali emolumen bulanannya.

Ketidakhadiran ↑

Kegagalan untuk hadir bagi apa-apa juga tempoh masapun pada satu-satu masa dan tempat di mana pegawai itu dikehendaki hadir bagi pelaksanaan tugas-tugasnya.

Ketua Jabatan

i. Ketua Setiausaha kepada kementerian, Ketua Jabatan, ketua sesuatu perkhidmatan mengikut mana yang berkenaan (Perintah Am Bab A 1973).

ii. Seseorang pegawai yang bertanggungjawab bagi sesuatu Kementerian, Jabatan, Institusi, Agensi atau Unit dan termasuk mana-mana pegawai dalam Kumpulan Pengurusan Tertinggi dan Kumpulan Pengurusan & Profesional yang diberi kuasa sewajarnya secara bertulis oleh pegawai yang bertanggungjawab bagi Kementerian, Jabatan, Institusi, Agensi atau Unit untuk bertindak bagi pihaknya [Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib)1993].

Ketua Perkhidmatan ↑

Pegawai yang mengetuai sesuatu perkhidmatan seperti mana yang ditetapkan oleh Perintah Am Bab A 1973 atau Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam

Kursus Induksi ↑

Kursus yang diwajibkan kepada seseorang pegawai lantikan tetap ke perkhidmatan awam seperti yang disyaratkan dalam skim perkhidmatan sebelum disahkan dalam perkhidmatan.

Lantikan atau Pelantikan

i. Lantikan termasuk lantikan kali pertama ke perkhidmatan Kerajaan dan sebarang pelantikan pegawai-pegawai sedang berkhidmat ke dalam skim perkhidmatan yang lain [Perintah Am 3(iv) Bab A 1973].

ii. Pengambilan seseorang oleh sesebuah Pihak Berkuasa Melantik untuk berkhidmat dengan perkhidmatan awam.

Lantikan Kontrak/Pelantikan Secara Kontrak ↑

Lantikan seseorang ke satu jawatan yang dibuat mengikut syarat kontrak yang dipersetujui antara Pihak Berkuasa Melantik dan pegawai. Pelantikan boleh bersandar atau mengisi jawatan sedia ada dan dibayar dibawah OS10000 atau yang tidak bersandar pada jawatan dan boleh dibayar OS29000.

Lantikan pertama/Pelantikan Kali Pertama ↑

Lantikan kali pertama ialah pengambilan seseorang yang belum pernah berkhidmat dengan mana-mana Agensi Awam oleh Pihak Berkuasa Melantik, atau pegawai yang pernah berkhidmat dengan Agensi Awam tetapi perkhidmatannya telah terputus.

Lantikan Sementara/Pelantikan Sementara ↑

Lantikan seseorang oleh sesebuah Pihak Berkuasa Melantik dengan ditawarkan syarat-syarat pelantikan sementara untuk berkhidmat Agensi Awam. Syarat penting didalam pelantikan sementara adalah tempoh perkhidmatan yang tidak melebihi 3 tahun. Lain-lain syarat adalah sama dengan syarat lantikan tetap.

Lantikan Tetap/Pelantikan Tetap ↑

Lantikan seseorang oleh sesebuah Pihak Berkuasa Melantik yang ditawarkan syarat-syarat pelantikan tetap untuk berkhidmat dengan Agensi Awam.

Lembaran Kelakuan

Satu bahagian dalam buku perkhidmatan yang dikhaskan untuk merekod perkara-perkara berikut:

i. Hukuman Tatatertib

ii. Surat Teguran

iii. Surat Pujian

iv. Anugerah Khidmat Cemerlang

v. Anugerah Darjah Kebesaran (Bintang/Pingat)

Lucut Hak Emolumen ↑

Satu bentuk hukuman tatatertib yang dikenakan kepada pegawai yang disabitkan kesalahan kerana tidak hadir bertugas oleh Pihak Berkuasa Tatatertib. Hukuman ini dalam bentuk potongan gaji yang jumlahnya bersamaan dengan tempoh ketidakhadirannya. Hukuman sebegini perlu direkodkan di dalan Kenyataan Perkhidmatan pegawai.

Mahkamah ↑

Mahkamah, termasuklah Mahkamah Syariah dan Mahkamah Anak Negeri, yang mempunyai bidang kuasa wibawa untuk membicarakan seseorang bagi sesuatu kesalahan jenayah.

Pegawai Sangkut ↑

Seseorang yang diambil berkhidmat oleh Ketua jabatan dan dibayar elaun bulanan berdasarkan kepada gaji minimum jawatan yang mereka disandarkan (sekiranya mempunyai kelayakan penuh) atau dikurang satu pergerakan dari gaji minimum (sekiranya tidak memiliki kelayakan penuh). Tempoh perkhidmatan tidak boleh diambil kira untuk faedah persaraan jika pegawai dilantik tetap.Pengambilan dihadkan hanya bagi perkhidmatan dalam Kumpulan Pengurusan dan Profesional.

Pegawai Sedang Berkhidmat ↑

Pegawai sedang berkhidmat termasuk pegawai dalam percubaan, pegawai sementara, pegawai dalam tukar sementara atau pinjaman dan pegawai kontrak.

Pekerja Khidmat Singkat (PKS) ↑

Pekerja yang diambil bekerja oleh Ketua Jabatan dalam tempoh tidak melebihi enam bulan dengan dibayar upah samada mengikut kadar jam atau kerja.

Pekerja Sambilan ↑

Seorang pekerja yang diambil oleh Ketua Jabatan untuk melaksanakan sesuatu tugas dalam tempoh tidak lebih daripada setahun tanpa mengisi jawatan. Pekerja tersebut dibayar gaji mengikut kadar harian. Pekerja sambilan bukan pegawai awam bagi maksud Perintah Am bab A 1973. Disamping memperolehi gaji harian, pekerja sambilan juga layak menerima bayaran insentif, elaun dan kemudahan tertentu.

Pelantikan Semula ↑

Penyambungan tempoh kontrak seseorang pegawai di jawatan dan agensi yang sama yang diluluskan oleh Pihak Berkuasa Melantik melalui satu perjanjian yang baru dimana tempoh kontrak yang baru itu tidak terputus daripada kontrak yang lama atau jika terputus tempohnya tidak melebihi 6 bulan.

Pelepasan Dengan Izin ↑

Kelulusan yang diberi secara bertulis oleh Ketua Jabatan membenarkan pegawainya dilantik ke perkhidmatam di bawah Pihak Berkuasa Melantik yang berlainan. Kelulusan “Pelepasan Dengan Izin” hendaklah direkodkan di dalam Kenyataan Perkhidmatan bagi membolehkan perkhidmatan lepas pegawai mengambilkira untuk faedah persaraan. Sekiranya pegawai tidak memperolehi pelepasan dengan izin, tempoh perkhidmatan pegawai yang terdahulu tidak akan diambil kira untuk faedah persaraan.

Peletakan Jawatan ↑

Permohonan secara bertulis (notis) seseorang pegawai untuk berhenti dari perkhidmatan awam yang mangakibatkan hubungan pegawai dengan perkhidmatannya terputus.

Pemangkuan ↑

Aturan di mana seseorang pegawai yang diberi kelulusan menjalankan tugas-tugas yang berkaitan dari sesuatu jawatan secara sepenuh masa yang lebih tinggi grednya dari gred hakikinya dalam skim perkhidmatan pegawai berkenaan.

Pembebasan

i. Bagi pertuduhan tatatertib pembebasan bermaksud pegawai dibebaskan dari pertuduhan oleh Lembaga Tatatertib berkenaan.

ii. Pegawai dibebaskan dari pertuduhan jenayah oleh Mahkamah Jenayah. Suatu pelepasan yang tidak terjumlah kepada suatu pembebasan.

Pemendekan Notis ↑

Permohonan secara bertulis seseorang pegawai kepada Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam untuk memendekkan tempoh notis peletakan jawatan seperti yang ditetapkan. Mengikut Perintah Am 61(a), tempoh notis adalah 3 bulan apabila telah disahkan dalam jawatan dan sebulan gaji yang belum. Dengan kelulusan pemendekan notis, pegaawi akan dikecualikan membayar gaji sebulan.

Penamatan Perkhidmatan (Pegawai Dalam Percubaan)

Penamatan Perkhidmatan seseorang pegawai yang masih di dalam tempoh percubaan oleh Pihak Berkuasa Melantik. Perkhidmatan seseorang pegawai masih dalam tempoh percubaan boleh ditamatkan jika:

i. Menyembunyikan maklumat kesihatan semasa pemeriksaan perubatan; atau

ii. Membuat sumpah palsu; atau

iii. Gagal disahkan kerana tidak diperakukan oleh ketua jabatan atau gagal dalam peperiksaan yang disyaratkan; atau

iv. Gagal kembali ke jawatan asal. Penamatan perkhidmatan di bawah Perintah Am 57, 58 dan 60 Bab A 1973 bukan tindakan tatatertib.

Pengesahan Dalam Perkhidmatan ↑

Pengesahan oleh Pihak Berkuasa Melantik terhadap kebolehan pegawai melaksanakan tugas dan kesesuaian dalam perkhidmatan yang dianggotainya. Kebolehan dan kesesuaian ini diukur dari segi kemampuan pegawai memenuhi syarat-syarat pengesahan yang ditetapkan. Syarat pengesahan adalah syarat seperti yang ditetapkan dalam skim perkhidmatan yang berkenaan setelah genap 3 tahun.

Pengesahan Lantikan

Pengesahan oleh Pihak Berkuasa Melantik mengenai pelantikan seseorang pegawai tetap setelah beliau memenuhi semua syarat lantikan. Syarat lantikan dinyatakan di dalam surat tawaran antaranya adalah seperti berikut:

i. Diperiksa dan diperakui sihat oleh seorang Pegawai Perubatan.

ii. Membuat akuan berkanun.

iii. Menandatangani surat setuju terima tawaran jawatan.

Peperiksaan ↑

Ujian yang wajib diduduki oleh seseorang pegawai seperti yang disyaratkan dalam skim perkhidmatan tertentu bagi tujuan pelantikan, pengesahan dalam perkhidmatan, peningkatan ke gred yang lebih tinggi dalam skim perkhidmatan yang lain dan kenaikan pangkat.

Perkhidmatan Perlu

Perkhidmatan-perkhidmatan yang disenaraikan di bawah:

1. Perkhidmatan bomba

2. Perkhidmatan penjara

3. Perkhidmatan bekalan air.

4. Perkhidmatan perubatan dan kesihatan awam.

5. Perkhidmatan perhubungan radio, termasuk perkhidmatan penyiaran dan televisyen.

6. Perkhidmatan pengangkutan melalui darat, air dan udara.

7. Perkhidmatan pelabuhan dan malim, perkhidmatan pangkalan kapal, termasuk perkhidmatan pemunggahan dan pengendalian kargo, perkhidmatan lapangan terbang dan juruterbang, termasuk perkhidmatan pengendalian kargo.

8. Mana-mana perkhidmatan yang dikendalikan oleh Jabatan Kerajaan berikut:

a. Jabatan Kimia;

b. Jabatan Kastam dan Eksais;

c. Jabatan Imigresen;

d. Jabatan Laut;

e. Jabatan Kaji Cuaca.

Perlanjutan Tempoh Percubaan Dengan Berdenda ↑

Tempoh percubaan seseorang pegawai yang dilanjutkan oleh Pihak Berkuasa Melantik dengan dikenakan denda kerana kecuaian atau ketidakpatuhan pegawai terhadap syarat-syarat pengesahan seperti yang ditetapkan dalam skim perkhidmatan dan Pihak Berkuasa Melantik. Denda yang dimaksudkan ialah hilang kelayakan untuk dipertimbangkan pergerakan gaji tahunan dan hilang kekananan.

Perlanjutan Tempoh Percubaan Tanpa Denda ↑

Tempoh percubaan seseorang pegawai yang dilanjutkan oleh Pihak Berkuasa Melantik tanpa dikenakan sebarang denda kerana gagal disahkan dalam tempoh percubaan asal yang ditetapkan bukan disebabkan oleh kesilapan/kecuaian pegawai.

Pernyataan Awam ↑

Apa-apa pernyataan atau ulasan yang dibuat oleh pegawai awam kepada akhbar atau kepada orang ramai atau semasa memberi syarahan awam atau ucapan awam atau dalam mana-mana penyiaran melalui bunyi atau penglihatan atau kedua-duanya iaitu dalam bentuk elektronik atau bercetak atau kedua-duanya sekali.

Pertukaran Pelantikan

Tawaran pelantikan yang dibuat kepada pegawai atas arahan kerajaan:

i. Ke skim perkhidmatan yang berlainan dibawah Pihak Berkuasa Melantik yang berlainan;

ii. Ke skim perkhidmatan yang sama di bawah Pihak Berkuasa Melantik yang berlainan;dan

iii. Ke skim perkhidmatan yang berlainan dibawah Pihak Berkuasa Melantik yang sama.

Pertukaran Perkhidmatan ↑

Pertukaran pegawai perkhidmatan awam dalam skim perkhidmatan yang sama dari satu ketua perkhidmatan kepada satu ketua perkhidmatan yang lain di bawah Pihak Berkuasa Melantik yang sama. Urusan perkhidmatan boleh diuruskan apabila wujud permohonan daripada seseorang pegawai yang ingin bertukar dari satu perkhidmatan ke satu perkhidmatan yang lain atas sebab-sebab peribadi.

Pertukaran Sementara ↑

Pelantikan seseorang pegawai ke suatu skim perkhidmatan lain yang berada di bawah Pihak Berkuasa Melantik yang sama untuk tempoh tertentu tanpa memutuskan ikatan pegawai dari perkhidmatan asalnya.

Pertukaran Tetap ↑

Pelantikan pegawai yang sedang berkhidmat secara pinjaman atau pertukaran sementara ke mana-mana jawatan di agensi peminjam dimana dengan pelantikan itu hubungan pegawai dengan perkhidmatan asalnya terputus, kecuali bagi tujuan faedah persaraan dan faedah lain seperti yang ditetapkan dalam pertukaran tetap. Boleh dilaksanakan dengan persetujuan di antara Agensi pembekal, peminjam dan pegawai berkenaan.

Pesara ↑

Seseorang pegawai perkhidmatan sektor awam yang terdiri daripada warganegara yang telah bersara atau dibersarakan mengikut undang-undang pencen yang berkenaan.

Pihak Berkuasa Melantik (PBM)

i. Mana-mana pihak di agensi pembekal dan agensi peminjam yang mempeunyai kuasa melantik seseorang pegawai secara pinjaman, pertukaran sementara atau pertukaran tetap (Mengikut Pekeliling Perkhidmatan Bil.13 Tahun 2000).

ii. Pihak yang diberi kuasa mengikut undang-undang untuk membuat pelantikan seseorang berkhidmat dengan agensi awam di bawah bidang kuasa pihak berkuasa melantik berkenaan. Di samping itu Pihak Berkuasa Melantik juga diberi kuasa melaksanakan fungsi-fungsi perkhidmatan lain yang ditetapkan.

Pihak Berkuasa Tatatertib

i. Suruhanjaya Perkhidmatan yang berkenaan yang bidang kuasanya meliputi perkhidmatan yang pegawai tersebut ialah seorang anggota mengikut peruntukan-peruntukan Bahagian X Perlembagaan Persekutuan, dan termasuklah seseorang pegawai atau sesuatu lembaga pegawai dalam perkhidmatan awam yang boleh menjalankan fungsi Suruhanjaya berhubung dengan pengawalan tatatertib menurut Fasal (5A), (5B), (6) atau (6A) Perkara 144 Perlembagaan Persekutuan [Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib)1993].

ii. Pihak tertentu di sesebuah agensi yang telah diberi kuasa secara undang-undang untuk menjalankan prosiding tatatertib dan menjatuhkan hukuman ke atas pegawai agensi berkenaan.

Pinjaman ↑

Pelantikan seseorang pegawai ke suatu skim perkhidmatan yang berada di bawah Pihak Berkuasa Melantik yang berlainan untuk tempoh tertentu tanpa memutuskan ikatan pegawai dengan perkhidmatan asalnya. Pinjaman boleh diuruskan kepada agensi awam, swasta dan agensi antarabangsa. Pegawai akan ditawarkan syarat pinjaman yang mana secara keseluruhanya tidak kurang baiknya dari syarat perkhidmatannya di jawatan asal. Pinjaman boleh dilaksanakan setelah ada persetujuan antara pembekal, agensi peminjam dan pegawai berkenaan.

Tangguh Pergerakan Gaji ↑

Satu bentuk hukuman tatatertib yang dikenakan kepada pegawai yang disabitkan kesalahan oleh Pihak Berkuasa Tatatertib. Hukuman in dalam bentuk penangguhan pergerakan gaji tahunan bagi tempoh tiga bulan, enam bulan, sembilan bulan atau dua belas bulan. Tarikh pergerakan gaji pegawai akan berubah.

Tanggung Kerja ↑

Seseorang pegawai yang diberi kelulusan untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diarahkan bagi saatu jawatan lain di samping menjalankan tugas jawatannya sendiri.

Tempoh Percubaan ↑

Tempoh yang ditetapkan dalam sesuatu skim perkhidmatan untuk menilai kebolehan dan kesesuaian pegawai yang dilantik sebelum layak disahkan dalam perkhidmatannya. Tempoh ini dinyatakan di dalam tawaran pelantikan. Seorang yang pertama kali dilantik ke perkhidmatan Kerajaan dikehendaki menempuh tempoh percubaan selama tiga tahun. Pegawai yang telah disahkan dalam jawatan dan dilantik ke satu jawatan baru boleh dikenakan tempoh percubaan selama satu hingga tiga tahun dan boleh disahkan dalam jawatannya bila-bila masa selepas satu tahun.

Tugas Rasmi ↑

Menjalankan tugas seperti di dalam senarai tugas jawatan pegawai termasuk lain-lain tugas yang diarahkan oleh Ketua Jabatan.

Turun Gaji ↑

Satu bentuk hukuman tatatertib yang dikenakan kepada pegawai yang disabitkan kesalahan oleh Pihak Berkuasa Tatatertib. Hukuman ini dalam bentuk tiga pergerakan gaji dan tempoh hukuman di antara satu hingga tiga tahun. Dalam tempoh hukuman, pegawai tidak berhak mendapat apa-apa pergerakan gaji dan tarikh pergerakan gaji akan berubah.

Turun Pangkat ↑

Satu bentuk hukuman tatatertib yang berat yang dikenakan kepada pegawai yang disabitkan kesalahan oleh Pihak Berkuasa Tatatertib. Hukuman ini dalam bentuk penurunan pangkat ke satu gred yang lebih rendah dalam skim perkhidmatan yang sama.

http://www.jpa.gov.my/v3/informasi-jpa/istilah/perkhidmatan/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan